Wednesday, August 11, 2010

kg, pinggan-pinggan... (pelik tapi benar)

Sejarah KampungPDFCetakE-mail
 
LOKASI 
 
KAMPUNG Pinggan-Pinggan adalah sebuah kampung yang terletak dalam daerah Pitas dan berada di tepi jalan raya utama Pitas – Kota Marudu. Jarak dari pekan Pitas ke Kg. Pinggan-Pinggan lebih kurang 20 km dan dari Kg. Pinggan-Pinggan ke pekan Kota Marudu lebih kurang 30 km. Panjang kampung ini jika diukur dari Kg. Senimpul, Suyad, Seribu Daya hingga ke Kg. Gailun Laut adalah lebih kurang 3 km dan lebarnya dari tepi pantai ke daratan Pinggan-Pinggan lebih-kurang 2 km ( 6 km persegi ). Tanaman yang boleh dapati di sini ialah pokok kelapa dan kayu acacia. Pada ketika ini suku kaum yang menduduki kampung ini ialah majoriti ialah suku kaum bajau kemudian dikuti suku kaum banjar, dusun, murut, sungai, bisaya dan sedikit suku kaum Cina. Mengikut kiraan kasar, penduduk kampung ini ialah seramai lebih kurang 1,200 orang sahaja. Ekonomi atau pendapatan penduduk di kampung ini kebanyakannya hasil daripada bekerja sebagai nelayan, petani dan sebahagian lagi adalah peniaga kedai runcit dan bekerja dengan kerajaan. Ada juga yang bekerja di kilang papan sebagai buruh atau pekerja perabot. Pemimpin tempatan pada ketika ini ialah Datuk Masrani Bin Parman, ADUN N3 Pitas yang juga berasal dan menetap di kampung ini.
 
SEJARAH AWAL
 
MENURUT cerita orang-orang tua di kampung ini, lebih kurang 100 tahun yang lalu kampung ini merupakan tempat tinggal suku kaum dusun kimaragang, pada ketika itu kampung ini masih belum dikenali kerana dipenuhi hutan rimba dan penduduk yang tinggal di kampung ini kerjanya hanyalah berburu binatang liar dan  berladang  padi huma (padi bukit). Pada masa itu di hutan rimba kampung ini banyak didiami binatang liar seperti rusa, kijang, pelanduk, babi hutan, kerbau lalang, tembadau, beruang, harimau dahan, monyet (kera) dan pelbagai burung hutan. Oleh kerana pendapatan penduduk kampung ini adalah hanya hasil berburu dan menjadi petani maka inilah yang mereka lakukan setiap hari. Hasil pendapatan ini hanya untuk keperluan sendiri bukan untuk dijual. Pada suatu hari seorang pemburu pergi berburu binatang liar menyusuri sebatang sungai yang berhampiran dengan sk. pinggan-pinggan pada  masa sekarang ini. Pada ketika itu cuaca kurang baik kerana hujan turun lebat telah berminggu-minggu. Apa yang menghairankan pemburu ini meskipun beliau telah hampir sehari suntuk berburu namun tiada seekor pun binatang liar yang beliau temui sedangkan perjalanan menyusur sungai tersebut telah hampir ke hulu sungai. Pemburu itu hampir berputus asa kerana telah letih berjalan sedangkan tidak menemui hasil apa-apa, lalu beliau pun duduk untuk melepaskan lelah. Semasa dia duduk merenung ke arah sungai yang mengalir deras, tiba-tiba beliau terlihat satu benda ajaib. Beliau melihat benda ini menyongsang sungai dengan pantas seolah-olah sebuah bot laju menuju ke hulu sungai. Beliau terasa amat takut tetapi perasaan ingin tahu menghantui dirinya apakah benda yang dilihatnya tadi. Tanpa membuang masa dengan pantas dia cuba menangkap benda ajaib tersebut. Apabila benda itu berada di dalam genggaman beliau, rupa-rupanya hanyalah sekeping batu leper berbentuk bulat menyerupai sebuah pinggan kecil yang retak seribu. Mengikut istilah suku kaum dusun Kimaragang , PINGGAN adalah pinggan atau piring sama dengan istilah dalam bahasa melayu. Oleh kerana pinggan yang beliau dapat ini adalah sebuah pinggan kecil daripada batu leper dan bulat retak seribu, benda ajaib ini hanyalah sebuah benda permainan kanak-kanak yang disebut PIPINGGAN dalam bahasa dusun kimaragang yang membawa makna PINGGAN-PINGGAN apabila dimelayukan. Benda ajaib ini telah di bawa pulang oleh pemburu tadi meski pun tiada hasil perburuan pada hari itu. Benda itu ditunjukkan kepada keluarganya di rumah dan bermula dari masa itulah kampung ini dinamakan PIPINGGAN atau PINGGAN-PINGGAN hingga sekarang.
 
Pada masa ini jika anda bertanya  kepada orang dari suku kaum dusun iaitu dalam bahasa ini “Songgoh ko aman?” yang membawa makna dalam Bahasa Melayu “Pakcik hendak pergi mana?” Beliau pasti akan menjawab:"Soori, sid miipinggan." yang membawa makna “Di sana, tempat yang menyerupai pinggan”
 
Pada tahun 1930-an di zaman pemerintahan BRITISH COLONY, seorang Murut yang berasal dari Kg. Dangulat, Keningau bertugas sebagai Polis Pemerintahan British, telah ditukarkan ke Kg.  Pinggan-Pinggan. Selepas bertugas di beberapa buah tempat seperti LANGKON, BANDAU, TIMBANG BATU, TANJUNG BATU, KUSILAD akhirnya beliau mengakhiri khidmatnya (bersara sebagai Polis) di Kg. Pinggan-Pinggan dan telah meninggal dunia pada  25.05.1959. Beliau ialah Kopral yang bernama Timpungoh Bin Timbangan atau Allahyarham Abdul Hamid Bin Abdullah. Beliau tiba di Kg. Pinggan-Pinggan pada akhir tahun 1920-an iaitu awal tahun 1930-an yang mana Kg. Pinggan-Pinggan masih hutan rimba dan sedikit hutan belukar. Pada masa itu penghuni tetap di kampung ini majoriti suku kaum Bajau, Dusun Kimaragang, sedikit Banjar, sedikit Brunei  dan Kaum Cina. Kaum Cina pada ketika itu ialah seorang Cina Melaka kacukan Jepun yang Bernama Baba Guandi berasal dari Singapura. Orang kampung tidak suka membuka tanah kebun. Kalau adapun hanyalah di tepi pantai laut Suyad hingga ke Kg. Pinggan-Pinggan. Tanah-tanah yang besar atau luas kebanyakannya milik Orang British dan Cina kemudian milik orang British ini menjadi milik Cina. Ketua Kg. Pinggan-Pinggan pada masa itu ialah dari suku kaum Bajau berketurunan Sharif. Sebagai bukti bahawa kampung ini penghuni asalnya  ialah suku Dusun Kimaragang iaitu semasa ketibaan Kopral Timpungoh ke kampung ini terdapat sembilan pokok kelapa yang berumur lebih kurang 30 tahun dan masih ada peninggalan kelapa tersebut yang boleh dilihat di tepi jalan  dalam kebun Allahyarham  Ketua Kerani Osman sekitar tahun 1960-an. Mengikut cerita orang tua-tua bahawa cucu pemburu yang menemui batu `ajaib' tersebut (Batu leper bulat retak seribu ini) masih ada di kampung ini tetapi telah meninggal dunia pada tahun 1970-an yang telah memeluk  agama Islam dan dikenali sebagai Allahyarham Abdul Salleh bin Abdullah  @ Odoh Bin Kurum. Walau bagaimanapun, malang sekali kerana ahli keluarga pemburu ini yang masih hidup sudah tidak tahu lagi mengenai sejarah ini.
 
Pernyataan sejarah ini dipetik daripada cerita yang diceritakan semula oleh:
 
Encik Mohd. Yaakub Bin Ismail
Mantan Guru Besar SK. Pinggan-Pinggan (1998-2004)  

No comments: